DATUK Mahfuz Omar mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya menilai kejayaan kerajaan berdasarkan hasil yang dinikmati rakyat, bukannya sekadar pengumuman projek mega bernilai berbilion ringgit.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, bantuan yang benar-benar sampai kepada rakyat lebih bermakna berbanding pengumuman projek pembangunan besar yang masih belum dapat dirasai manfaatnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang melabelkan Belanjawan 2027 sebagai bajet ‘gula-gula’ yang didakwa bertujuan memancing hati rakyat.
“Apa salahnya kerajaan memberikan gula-gula kepada rakyat jika bantuan itu benar-benar sampai ke tangan mereka? Bukankah ia lebih baik daripada rakyat terus menunggu hasil pengumuman projek mega yang dibuat sejak 2020?” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mahfuz berkata, bantuan kepada pelajar, usaha meningkatkan pendapatan rakyat, projek tebatan banjir serta penambahbaikan kemudahan awam bukanlah usaha memancing undi, sebaliknya tanggungjawab asas sesebuah kerajaan.
Menurutnya, rakyat tidak dapat membayar bil air hanya dengan angka pelaburan berbilion ringgit, manakala pengumuman projek kereta api berkelajuan tinggi di Langkawi yang kemudian dibatalkan tidak memberikan manfaat seperti yang diharapkan.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai projek mega seperti litar lumba yang menurutnya perlu dinilai berdasarkan kemajuan pelaksanaan dan manfaat sebenar kepada rakyat, bukan sekadar pengumuman atau paparan gambar projek.
“Projek mega memang nampak hebat ketika diumumkan. Tetapi rakyat mahu tahu bila projek itu hendak bermula, bila hendak siap dan bila mereka boleh menikmati hasilnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan pihaknya tidak menolak pembangunan berskala besar di Kedah, namun pelaksanaannya perlu seiring dengan pengumuman yang dibuat.
Katanya, rancangan pembangunan seperti Kedah Aerotropolis (KXP) dan projek pembangunan besar lain perlu dinilai berdasarkan kemajuan sebenar, bukannya kemeriahan pengumuman semata-mata.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan besarnya nilai pelaburan atau jumlah sifar pada angka projek, sebaliknya berdasarkan sejauh mana masalah rakyat berjaya diselesaikan.
“Kalau bantuan Kerajaan MADANI sampai kepada rakyat Kedah, rakyat Kedah juga yang mendapat manfaat. Mengapa perlu diperlekeh hanya kerana bantuan itu datang daripada kerajaan yang Sanusi sering kritik?” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan Sanusi supaya tidak terlalu menumpukan perhatian kepada kritikan terhadap bantuan kerajaan Persekutuan sehingga mengabaikan persoalan mengenai pelaksanaan janji pembangunan di Kedah.
Beliau kemudian mencabar Sanusi menjawab persoalan sama ada bantuan yang diterima rakyat pada hari ini lebih bermanfaat berbanding projek bernilai berbilion ringgit yang masih dinantikan hasilnya.
“Rakyat tidak makan sindiran. Rakyat perlukan hasil. Kalau bantuan disebut gula-gula, pastikan rakyat dapat menikmatinya. Kalau projek mega disebut pembangunan, pastikan rakyat dapat melihat hasilnya.
“Jangan sampai gula-gula orang lain dikeji, tetapi janji sendiri hanya tinggal pembungkus,” katanya.






