
KUCHING – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak menegaskan bahawa pendirian politik parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 hanya boleh ditentukan oleh kepimpinan melalui saluran rasmi dan bukannya berdasarkan kenyataan individu tanpa mandat.
Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Tay Wei Wei yang menyeru penyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya ahli PKR dan Amanah di Sarawak, supaya memberikan sokongan serta undi kepada calon DAP dan PBDS pada PRN kali ini.
Menurut MPN PKR Sarawak, sebarang keputusan politik yang melibatkan parti perlu berpandukan ketetapan rasmi kepimpinan.
“Sebarang pendirian, arahan atau keputusan politik yang melibatkan PKR Sarawak hendaklah berpandukan keputusan rasmi dan ketetapan kepimpinan parti, bukannya kenyataan atau arahan secara individu tanpa mandat yang jelas daripada kepimpinan parti,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan individu membuat seruan seolah-olah mewakili keseluruhan pendirian PKR dan Amanah Sarawak adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan arahan supaya ahli serta penyokong memberikan sokongan kepada parti lain.
MPN PKR Sarawak turut mengingatkan bahawa kerjasama dalam PH perlu berasaskan prinsip saling menghormati, persefahaman dan keputusan bersama.
“Kerjasama politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menentukan pendirian parti lain secara unilateral,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak menolak sebarang cubaan mengaitkan nama, keahlian dan sokongan parti di negeri ini dengan arahan politik yang tidak mendapat pengesahan rasmi daripada kepimpinan.
Dalam pada itu, seluruh ahli dan penyokong PKR di Sarawak diseru supaya kekal tenang, berdisiplin serta tidak terpengaruh dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan parti komponen PH.
“Tiada mana-mana individu boleh bercakap atau membuat keputusan bagi pihak parti tanpa mandat yang sewajarnya,” tegas kenyataan tersebut.



