KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh masa depan generasi akan datang, bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan, kata Ketua Angkatan Muda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, pembentangan Belanjawan MADANI 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan agenda reformasi ekonomi dan institusi, selain memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, belanjawan itu turut memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, meningkatkan kebajikan pekerja, memperluas akses pendidikan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Peningkatan STR dan SARA kepada RM16 bilion, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid, dan elaun buat pelajar tingkatan enam memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam meringankan beban keluarga,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas manfaat kepada golongan pertengahan, Muhammad Kamil berkata, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai pendapatan tertentu dijangka memberi ruang pendapatan boleh guna yang lebih besar kepada pembayar cukai terbabit.
Beliau turut menyambut baik ketetapan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya bermula apabila pendapatan peminjam mencapai RM2,500 sebulan.
Katanya, bayaran minimum RM50 bagi peminjam berpendapatan di bawah RM3,000 mencerminkan pendekatan yang mengambil kira kekangan kewangan graduan baharu ketika membina kehidupan dan kerjaya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pengenalan Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada golongan muda yang melengkapkan jumlah jam kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih sebagai langkah menggalakkan penglibatan belia dalam khidmat masyarakat.
Menurutnya, pembangunan golongan muda bukan sahaja perlu tertumpu kepada kemajuan ekonomi, malah turut membentuk generasi yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Muhammad Kamil turut menyambut baik usaha kerajaan menangani persaingan tidak adil daripada platform e-dagang asing yang boleh menjejaskan peniaga tempatan.
Katanya, langkah memperkukuh penguatkuasaan serta cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang membuktikan keterbukaan ekonomi perlu diseimbangkan dengan usaha melindungi kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Beliau berkata, gagasan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi membawa mesej bahawa Malaysia perlu terus mengejar kemajuan teknologi, pelaburan dan industri masa hadapan tanpa mengabaikan keperluan rakyat.
“Reformasi fiskal dan pembaharuan tatakelola mesti terus diperkukuh agar setiap hasil pertumbuhan dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama.
“Akhirnya, kejayaan Belanjawan ini tidak harus diukur pada besarnya peruntukan semata-mata, tetapi pada sejauh mana ia memperbaiki kehidupan rakyat hari ini dan memperkukuh masa depan generasi penerus,” katanya.







