
KUALA LUMPUR – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026, manakala Nexus Sedenak berpotensi menarik pelaburan RM12 bilion dan mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Nexus Sedenak bakal menjadi pusat pertumbuhan industri baharu di bahagian utara JS-SEZ, disokong penaiktarafan jalan dari persimpangan Sedenak serta kemudahan yang menghubungkan kawasan itu dengan pelabuhan utama dan rangkaian perdagangan serantau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan melancarkan Pelan Induk dan Blueprint JS-SEZ pada akhir tahun ini.
Bagi memperkukuh usaha menarik pelaburan, beliau berkata Pasukan Petugas Khas ditubuhkan menerusi pendekatan Queen Bee untuk menyelaras rundingan rentas agensi bagi menarik syarikat peneraju sektor strategik melabur di JS-SEZ.
Sementara itu, di Forest City, Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) membolehkan sesebuah keluarga menguruskan dana di Malaysia dengan pengecualian cukai terhadap pendapatan yang layak sehingga 20 tahun.
Model Pejabat Pelbagai Keluarga (MFO) turut diperkenalkan bagi membolehkan pengurus dana berlesen menawarkan perkhidmatan kepada beberapa keluarga, termasuk dana SFO yang sudah diluluskan.







