
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 ialah belanjawan milik rakyat yang diperhalusi dan direncana berasaskan keberhasilan serta mengambil kira setiap maklum balas rakyat, suara komuniti perniagaan dan buah fikiran pihak berkepentingan.
Menurut Kenyataan Belanjawan 2027 ialah Belanjawan MADANI Kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi MADANI dalam pengemudian negara Malaysia.
Katanya, selaku belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Belanjawan ini kekal menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.
“Tahun 2026 menyaksikan episod kegalauan dunia dek konflik berpanjangan di Asia Barat yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi USD100 setong dan menekan rantaian bekalan antarabangsa.
“Kendatipun berdepan kejutan luaran, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan hasil reformasi struktur yang dilaksanakan sejak Belanjawan MADANI pertama, termasuk konsolidasi fiskal, penyasaran subsidi dan pempelbagaian sumber pertumbuhan.
Menurutnya, krisis berkenaan mengesahkan, reformasi berani pentadbiran MADANI telah menjadi benteng pertahanan ekonomi dan rakyat.
“Perencanaan Belanjawan 2027 dipandu keseimbangan antara keperluan mendesak jangka pendek bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga dan kos sara hidup, dengan keperluan strategik jangka panjang untuk membina ekonomi yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.
“Belanjawan ini selari dengan keutamaan pentadbiran MADANI bagi memacu pertumbuhan berasaskan produktiviti dan daya cipta, mempercepat peralihan tenaga, memperkukuh keterjaminan makanan, mengutama digital dan kecerdasan buatan (AI) serta membangun bakat berkemahiran tinggi,” katanya.

