
KOTA BHARU – Pertikaian berkaitan perceraian dipercayai menjadi punca seorang jururawat berusia 44 tahun ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, perkara itu berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa yang diambil selepas laporan polis dibuat.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 47 tahun tidak berpuas hati dengan keputusan isterinya untuk memfailkan perceraian.
Beliau berkata, keadaan itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak agresif sebelum menikam mangsa berulang kali pada bahagian badan dan leher.
“Suspek menikam mangsa sebanyak enam kali,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Yusoff berkata, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk tiga berkaitan kesalahan narkotik dan satu lagi kesalahan jenayah.
Menurutnya, suspek menyerah diri kepada polis selepas kejadian sebelum direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Foto: Berita Harian






