
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chean Chung, Jumaat lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat bertarikh 2 Oktober 2026 berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya.
“Berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil Bahagian Pilihan Raya Parlimen P105 Petaling Jaya akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan itu menjadikan Petaling Jaya sebagai kerusi Parlimen keempat dalam penggal semasa yang dikosongkan tanpa disusuli PRK, selepas Pandan, Setiawangsa dan Subang.
Sebelum ini, pada 20 Mei, SPR mengesahkan tiada PRK bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing mengosongkan kerusi berkenaan.
Pada Ogos lalu, SPR turut mengesahkan tiada PRK bagi Parlimen Subang susulan peletakan jawatan penyandangnya, Wong Chen.
Sementara itu, Chean Chung, 45, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun yang diterimanya pada 30 September 2026.





