
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan reformasi menyeluruh bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja perubatan, selain memperkukuh tahap keselamatan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, krisis penempatan pegawai perubatan serta tragedi nahas helikopter FDS di Long Lellang, Sarawak baru-baru ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk menstruktur semula sistem kesihatan sedia ada.
Beliau membangkitkan persoalan berhubung kontrak pengendalian FDS, had usia pesawat, status audit penyelenggaraan serta laporan penuh siasatan insiden berkenaan.
“Nahas yang berlaku pada 8 September lalu itu membabitkan helikopter jenis Bolkow Bo 105 dan mengorbankan lima individu, termasuk juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
“Serta empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya Jok,” katanya dalam perbahasannya di Dewan Rakyat pada Isnin,
Sehubungan itu, Dr Kelvin meminta kerajaan mempertimbangkan pampasan tambahan kepada keluarga mangsa, termasuk bantuan pendidikan untuk anak-anak serta sokongan sara hidup bagi tanggungan yang kehilangan tempat bergantung.
Beralih kepada isu tenaga kerja, beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung keengganan sebilangan pegawai perubatan untuk melapor diri bagi penempatan tetap di Sabah dan Sarawak, yang memberi kesan kritikal kepada operasi hospital serta fasiliti kesihatan di pedalaman.
Terdahulu, KKM menerusi satu kenyataan pada 1 Oktober memaklumkan bahawa proses melapor diri bagi 4,255 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan fasa kedua masih berlangsung sehingga tarikh akhir 7 Oktober ini, dan meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan awal.
Bagi menyelesaikan kemelut tersebut, Dr Kelvin mencadangkan agar kerajaan mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada struktur progresif, selain menyalurkan bantuan perpindahan lebih awal berdasarkan kos sebenar.
Beliau turut mengusulkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat, penyediaan insentif tambahan oleh kerajaan negeri, serta kelonggaran menggunakan khidmat doktor asing secara terhad sebagai langkah jangka pendek.
Tegasnya, matlamat akhir siri reformasi itu adalah bagi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang saksama dengan disokong oleh tenaga perubatan mencukupi dan sistem pengangkutan udara yang selamat.




