KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan dan mempertahankan amalan tatakelola yang baik bagi mengekang kegiatan pencerobohan tanah tanpa kebenaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegiatan berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
Beliau berkata, tindakan berkesan perlu diambil terhadap sebarang isu berkaitan pencerobohan tanah, termasuk perkara yang dibangkitkan pihak berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Saya tegaskan bahawa amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
“Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan segera supaya maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83, hari ini.
Anwar berkata, pengurusan tanah juga perlu mengambil kira kesan perubahan iklim dan tidak hanya berorientasikan keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal
“Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak,” katanya.





