
MUKAH – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja dua hari ke Mukah bersempena dengan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah yang bermula pada Jumaat.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Mukah disambut oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib bersama barisan kepimpinan setempat.
Menurut Hanifah, keberadaan Premier Sarawak selama dua hari di daerah itu menyediakan pelbagai pengisian program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat serta kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, penganjuran program berkenaan memberi peluang keemasan kepada masyarakat untuk bertemu serta berinteraksi secara bersemuka dengan pemimpin negeri.
“Menerusi program tersebut, masyarakat berpeluang bertemu serta berinteraksi dengan Premier Sarawak dan pemimpin setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara barisan kepimpinan dengan rakyat,” katanya pada Jumaat.
Hanifah menambah, penganjuran Program Sarawakku Sayang itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan barisan kepimpinan Sarawak dalam mendekati komuniti pada peringkat akar umbi.
Jelas beliau, langkah berkenaan juga selari dengan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memajukan Sarawak ke arah yang lebih maju dan makmur demi kesejahteraan masyarakat.






