Tiga pegawai media Malaysia berdepan detik cemas penerbangan London-Istanbul

ISTANBUL (Turkiye) – Penerbangan dari London ke Istanbul bertukar menjadi pengalaman mencemaskan apabila seorang penumpang bertindak agresif sehingga terpaksa dikawal dan diikat selepas mengganggu penumpang lain, bergelut dengan seorang lelaki dan menggigit beberapa individu dalam pesawat.

Lebih mengejutkan, penumpang terbabit sempat berbual dengan salah seorang pegawai media Malaysia yang berada dalam penerbangan AJet sebelum tingkah lakunya berubah kira-kira dua jam selepas pesawat berlepas.

Editor The Malaysia Press (TMP), Mohd Haizal Yatiran berkata, sebelum kejadian sekitar pukul 9 malam waktu Istanbul itu, beliau sempat berbual dengan lelaki berkenaan sebelum pesawat berlepas dari London Stansted ke Istanbul.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa dirinya warga United Kingdom berketurunan campuran Maghribi dan memberitahu pernah mengunjungi Malaysia beberapa bulan sebelum kejadian.

“Dia duduk di sebelah saya, di tempat duduk 19D, sedangkan tempat duduk asalnya ialah 35A.

“Dalam perbualan itu, dia banyak bercerita dan memberitahu pernah ke Malaysia, termasuk melawat Penang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Haizal (kiri) bersama Muhammad Mahfuz Mohamad dan Mohd Taufik di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Bagaimanapun, menurut Mohd Haizal, keadaan lelaki berkenaan ketika itu sudah kelihatan tidak normal dan beliau mengesyaki lelaki tersebut berada di bawah pengaruh sesuatu.

Selepas beberapa ketika, kru kabin meminta lelaki terbabit kembali ke tempat duduk asalnya.

Kira-kira dua jam kemudian, keadaan bertukar serius apabila dua kru kabin membawa lelaki berkenaan ke bahagian hadapan pesawat selepas dia dilaporkan mengganggu seorang penumpang wanita yang duduk berhampiran.

“Pada mulanya saya fikir perkara itu sudah selesai. Tetapi tidak lama kemudian, dia mula menjerit dan bertindak agresif.

“Dia kemudian bergelut dengan seorang penumpang lelaki. Saya nampak darah mengalir pada lengan lelaki tersebut selepas dipercayai digigit,” katanya.

Menurut Mohd Haizal, suasana dalam kabin ketika itu menjadi semakin tegang apabila beberapa penumpang dan kru cuba mengawal lelaki berkenaan.

Beliau turut merakam sebahagian kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

Situasi cetus kebimbangan keselamatan

Mohd Haizal berkata, ketika kejadian berlaku, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya ialah kemungkinan keadaan tersebut berpunca daripada sesuatu yang tidak diketahui.

“Perkara yang paling saya risau ialah kemungkinan berlaku cubaan merampas pesawat.

“Tambahan pula, beberapa jam sebelum kejadian, saya mendapat tahu mengenai insiden sebuah pesawat Dubai Air yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan susulan pergaduhan antara juruterbang dalam kokpit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebimbangan itu akhirnya tidak berlaku dan penerbangan berkenaan berjaya meneruskan perjalanan sehingga mendarat dengan selamat di Istanbul.

Pengarah Bahagian Media Sosial dan Media Baharu, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Taufik Abdul Jalil yang turut berada dalam penerbangan sama berkata, insiden itu berlarutan kira-kira tiga jam.

Menurutnya, lelaki berkenaan turut menjerit Free Palestine dan Free Israel ketika bertindak agresif sebelum kru serta beberapa penumpang terpaksa mengawalnya.

Gigit kru, penumpang

Media Turkiye, Hispantolia, pula melaporkan penumpang terbabit mengganggu seorang wanita sebelum bertindak agresif dan menggigit beberapa individu termasuk kru kabin serta seorang penumpang.

Menurut laporan itu, dua mangsa membuat laporan terhadap lelaki berkenaan selepas pesawat mendarat di Istanbul.

Laporan berkenaan turut memetik maklumat bahawa lelaki terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Pihak AJet kemudiannya mengambil tindakan terhadap penumpang berkenaan selepas pesawat mendarat.

‘Harap perjalanan selepas ini lancar’

Bagi Mohd Haizal, kejadian itu menjadi pengalaman yang tidak dijangka ketika dalam perjalanan pulang selepas mengikuti program kewartawanan perang di Ankara.

“Memang cemas. Kita berada dalam ruang tertutup, berjam-jam di udara dan tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada lelaki itu.

“Yang penting, pesawat akhirnya selamat mendarat. Selepas ini masih ada perjalanan yang panjang untuk kami pulang ke Malaysia. Harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tiga pegawai media Malaysia yang berada dalam penerbangan itu sebelum ini selesai mengikuti War Journalism Training 2026 (Kursus Kewartawanan Perang 2026) di Ankara sebelum meneruskan perjalanan ke London dan kemudian kembali ke Istanbul.

Rakaman video yang dirakam Mohd Haizal ketika kejadian turut memberikan gambaran mengenai suasana cemas dalam kabin ketika kru dan penumpang cuba mengawal lelaki terbabit.

Insiden tersebut berakhir selepas pesawat selamat mendarat di Istanbul dan lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sesi bergambar setelah tamat kursus bersama peserta dari Turkiye, Indonesia, Laos, Filipina, Vietnam, Papua New Guinea dan Kemboja.

Related Posts

Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

PEMILIHAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dilihat bertepatan dengan keperluan memperkukuh kawalan pintu masuk negara, khususnya dalam membanteras kegiatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tegas pertahan integriti, KP AKPS lapor polis isu video tular

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain membuat laporan polis susulan penularan video yang memaparkan beliau ketika menjalankan operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 rekod 180 penyertaan

Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 rekod 180 penyertaan

Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

Tegas pertahan integriti, KP AKPS lapor polis isu video tular

Tegas pertahan integriti, KP AKPS lapor polis isu video tular

Warga emas maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

  • By Fatin
  • October 1, 2026
Warga emas maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

DBKK nafi dakwaan palsu lantikan CEO Kinabalu Venture

DBKK nafi dakwaan palsu lantikan CEO Kinabalu Venture

SARA bulanan mula dikredit hari ini

SARA bulanan mula dikredit hari ini