
KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan awal mengenai penempatan pegawai perubatan lantikan tetap Fasa 2 Tahun 2026 kerana proses lapor diri masih berlangsung sehingga 7 Oktober ini.
KKM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, urusan lantikan tetap Pegawai Perubatan Gred UD10 yang berkuat kuasa mulai 28 September lalu membabitkan 4,255 pegawai yang ditawarkan penempatan menerusi sistem ePlacement.
“KKM ingin menjelaskan bahawa proses lapor diri pegawai ke fasiliti penempatan masing-masing masih sedang berlangsung dan belum selesai.
“Pegawai yang terlibat diingatkan untuk melengkapkan urusan lapor diri di Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada 7 Oktober 2026.
“Justeru, KKM memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan awal dan memberi ruang kepada kelancaran proses penempatan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu KKM turut menyeru semua pegawai perubatan yang belum melapor diri supaya segera berbuat demikian di fasiliti penempatan masing-masing.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah melahirkan kegusaran terhadap kekurangan doktor di negeri itu, termasuk kadar lapor diri yang rendah dalam kalangan pegawai perubatan dari luar Sabah.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, berdasarkan maklumat penempatan hospital yang tersedia kepada persatuan itu, hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijangka melapor diri sudah berbuat demikian ketika maklumat dihimpunkan.
“Berdasarkan maklumat yang tersedia kepada MMA Sabah mengenai penempatan hospital, 138 pegawai perubatan dari luar Sabah dijangka melapor diri di hospital seluruh negeri, tetapi hanya 47 sudah melapor diri ketika maklumat itu dihimpunkan, iaitu kira-kira 34 peratus.
“Angka ini hanya membabitkan penempatan hospital dan tidak termasuk doktor yang ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan kerajaan.
“Oleh itu, kami menggesa KKM menerbitkan dan mengesahkan angka lengkap lapor diri di seluruh Sabah supaya keadaan sebenar tenaga kerja dapat dinilai dengan tepat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Brandon, maklumat daripada fasiliti serta maklum balas doktor menunjukkan sebahagian besar hospital yang terjejas oleh pergerakan terkini pegawai perubatan mengalami pengurangan bersih tenaga kerja.
“Keadaan ini menambah tekanan terhadap doktor sedia ada, dengan sesetengah jabatan memerlukan pegawai perubatan menjalankan tugas atas panggilan setiap selang sehari kerana kekurangan kakitangan.
“Kita tidak boleh menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dengan terus meminta doktor yang masih bertugas bekerja lebih banyak.
“Setiap doktor yang keluar tanpa pengganti mencukupi meningkatkan beban kerja, kekerapan tugas atas panggilan dan tanggungjawab rakan sekerja yang kekal.
“Akhirnya, pesakit akan menanggung kesannya melalui tempoh menunggu lebih lama, kelewatan rawatan dan pengurangan keupayaan untuk mengekalkan perkhidmatan dengan selamat,” kongsinya.

MMA Sabah turut menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan, supaya Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan dipulihkan, selain memperkukuh insentif perkhidmatan di Sabah dan Sarawak.
“MMA Sabah menggesa penambahbaikan bantuan perpindahan, penginapan kakitangan, kepastian tempoh penempatan serta peluang latihan lanjutan dan kemajuan kerjaya.
“Kerajaan Sabah turut berperanan melalui penyediaan kuarters yang sesuai, penambahbaikan kemudahan asas di kawasan luar bandar serta pertimbangan insentif tambahan bagi lokasi yang sukar diisi.
“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan, mendapat sokongan mencukupi, bekerja dalam keadaan selamat dan munasabah serta mempunyai peluang untuk berkembang dalam kerjaya.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti bertindak bersama. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga perkhidmatan kesihatan gagal sebelum mengakui betapa seriusnya masalah ini,” katanya.
Untuk rekod, pada Rabu, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan, berdasarkan perkongsian tidak rasmi doktor-doktor di media sosial, ramai pegawai perubatan yang ditawarkan lantikan tetap di Sabah dan Sarawak belum melapor diri bagi penempatan yang bermula 28 September lalu.
Susulan itu, MMA Sabah melahirkan kegusaran terhadap keadaan tenaga kerja kesihatan di negeri berkenaan apabila hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijangka ditempatkan di hospital sudah melapor diri ketika maklumat dihimpunkan.




