
KOTA BHARU – Tujuh warga asing terdiri daripada empat lelaki Bangladesh dan tiga warga Indonesia ditahan dalam dua kes berasingan kerana disyaki memasuki Malaysia secara haram di Kampung Sungai Keladi, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kes pertama kira-kira 12.15 tengah malam, tiga warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita ditahan selepas ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain berkata, kenderaan itu dikesan ketika anggota Risik, Task Force Batalion 8 PGA dan Maritim Malaysia Kelantan menjalankan rondaan.
Beliau berkata, MPV berkenaan memecut selepas menyedari kehadiran anggota sebelum berhenti berhampiran sebuah rumah.
“Beberapa individu lain yang berada di kawasan itu melarikan diri ke bahagian belakang rumah, manakala pemeriksaan menemukan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia di tempat duduk penumpang belakang.
“Turut ditemukan tiga pasport Indonesia yang tidak mempunyai cop keluar masuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka memulakan perjalanan dari Surabaya, Indonesia pada 28 September sebelum transit di Singapura dan meneruskan perjalanan ke Hatyai, Thailand pada 29 September.
Mereka kemudian dipercayai dibawa menaiki van ke Takbai, Thailand sebelum menaiki bot untuk memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.
Ahmad berkata, ketiga-tiga warga Indonesia itu mengaku membayar kira-kira RM6,000 kepada seorang ejen di Indonesia bagi menguruskan perjalanan berkenaan.
Mereka dipercayai datang ke Malaysia untuk bekerja di Kuala Lumpur, masing-masing sebagai buruh binaan dan pembantu rumah.
Dalam kes kedua kira-kira 1.30 pagi, empat lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak di kampung sama.
Keempat-empat mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA dan Maritim Malaysia.
Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka memiliki pasport Bangladesh tanpa cop kemasukan ke Malaysia, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua lelaki berusia antara 32 hingga 42 tahun itu pernah tinggal di Malaysia secara sah sebelum ini, namun telah tinggal lebih masa dan dikenakan kompaun.
“Pasport mereka kemudiannya disenarai hitam dan setiap seorang dipercayai membayar kira-kira RM5,000 kepada ejen untuk masuk ke Malaysia melalui Thailand,” katanya.
Kesemua tangkapan dalam kedua-dua kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Gambar: RTM




