
MARAN – Sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh penghadang tengah Lebuhraya Pantai Timur selepas hilang kawalan dan terbabas ketika cuba memotong lori, petang semalam.
Ketua Polis Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kemalangan jam 3.45 petang di Kilometer 155.7 LPT arah barat itu menyebabkan lima individu – termasuk empat warga China – cedera.
“Kesemua mangsa terdiri daripada seorang pemandu lelaki warga tempatan dan empat penumpang warga China yang dalam perjalanan dari pejabat ECRL Maran menuju ke Lanchang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux itu dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Kenderaan itu kemudian terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum berpusing dan melanggar penghadang tengah.
Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan menggunakan ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta saksi atau orang ramai yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-943 6741 atau mana-mana balai polis berhampiran.








