
KUALA LUMPUR – Semua syarikat televisyen dan radio diseru agar menyederhanakan serta menyesuaikan siaran, pada Isnin sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil langkah itu sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarhamah kepada negara yang disifatkannya sebagai tokoh yang dekat dengan rakyat.
“Ini adalah satu momen yang amat mendukacitakan. Allahyarhamah banyak berjasa pada negara, sering dilihat sebagai seorang individu yang dekat dengan rakyat dan insya-Allah saya telah meminta semua syarikat TV dan radio untuk memastikan siaran pada hari ini disederhanakan dan disesuaikan.
“Kita berikan penghormatan atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian BeONE Mobile, pengendali mudah alih tempatan, pada Isnin.

Fahmi pada masa sama menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga Allahyarhamah.
“Ini adalah satu momen yang amat mendukacitakan. Allahyarhamah banyak berjasa kepada negara dan sering dilihat sebagai seorang individu yang dekat dengan rakyat,” katanya
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai wanita yang sentiasa berdiri teguh di sisi Tun Dr Mahathir sepanjang perjalanan dan perjuangan beliau.
“Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, setiap perjuangan, setiap jatuh dan bangun, dalam diam yang penuh pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan Tun Dr Mahathir kini perlu diteruskan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisi beliau.
“Semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini. Jasa, kasih dan pengorbanan Tun Dr Siti akan sentiasa dikenang.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.


