
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu maklum balas daripada Meta berkaitan aduan membabitkan akaun WhatsApp yang digodam, diambil alih atau disekat sehingga tidak boleh diakses pengguna.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak Meta memohon sedikit masa untuk meneliti aspek teknikal berhubung isu berkenaan sebelum memberikan respons kepada MCMC.
Katanya, pengguna yang mendapati akaun mereka tidak lagi boleh diakses atau telah disekat platform seperti WhatsApp boleh membuat aduan rasmi kepada MCMC untuk tindakan susulan bagi membolehkan agensi itu berhubung dengan pihak Meta bagi mendapatkan bantuan untuk mengaktifkan semula akaun terjejas.
“Kita terima sebagai contoh kes-kes yang melibatkan pengambilalihan akaun, apabila ada individu lain atau penggodam mengambil alih akaun.
“Jadi, kes-kes seperti ini boleh buat aduan rasmi dengan pihak MCMC supaya berdasarkan aduan itu kita boleh berhubung dan minta bantuan daripada pihak Meta.
“Pihak Meta berjanji untuk memberi maklum balas petang ini pukul 3. Mereka meminta sedikit masa untuk menyelidik aspek-aspek teknikal dalam isu yang dimaksudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran BeOne Mobile dan Program Pemerkasaan Komuniti, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, isu sama bukan hanya terhad kepada WhatsApp, malah aduan membabitkan platform lain seperti Telegram dan Instagram juga boleh dipanjangkan kepada MCMC.
“Kita tunggu sama ada pihak Meta memberi respons seperti yang mereka janjikan,” katanya.
Sementara itu, mengulas program berkenaan, Fahmi memaklumkan, BeOne Mobile merupakan pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) baharu dengan menggunakan rangkaian Maxis.
Menurut beliau, usaha BeOne Mobile mendekati komuniti dan membangunkan kumpulan usahawan sebagai ejen turut membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan.
“Dengan memanfaatkan rangkaian Maxis, perkhidmatan yang ditawarkan BeOne Mobile dijangka menambah pilihan dalam ekosistem telekomunikasi negara.
“Perkembangan itu turut memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya.


