
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin.
Saarani berkata, pemergian tokoh perubatan dan kesihatan awam negara itu merupakan satu kehilangan besar buat keluarga serta seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarhamah, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kebajikan masyarakat, akan terus dikenang.
“Saya merakamkan ucapan takziah buat Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga Allahyarhamah.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” katanya dalam hantaran Facebook pada Isnin.
Saarani turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.
Pemergian Tun Siti Hasmah meninggalkan jasa dan sumbangan besar dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kerja-kerja kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat keluarga dan seluruh Malaysia,” zahirnya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan MADANI akan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah yang meninggal dunia jam 9.20 pagi tadi.
Jenazah dijadual dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya petang ini.






