CHANGLUN – Rasa belas kasihan seorang lelaki terhadap seekor anjing terbiar yang dipercayai kelaparan berakhir dengan dia digigit haiwan itu sebelum meninggal dunia akibat rabies pada semalam.
Mangsa, Nik Muhamad Adha Nik Zulkifli, 31, dikatakan digigit pada tangan ketika berada berhampiran kawasan Pasar Tani Kekal Changlun, bulan lalu.
Dia yang bekerja di sebuah premis perkakasan pergi ke pasar tani tersebut bagi menghantar barang kepada isterinya yang berniaga sayur di situ.
Menurut seorang peniaga pasar tani, Jamaliah Abdullah, 65, seekor anjing terbiar datang ke kawasan berdekatan sebelum disedari mangsa.
“Waktu itu hujan renyai dan mungkin anjing itu datang ke kawasan ini selepas dihalau peniaga lain.
“Saya difahamkan, dia (mangsa) mahu ke tempat kerjanya tetapi ternampak anjing itu dalam keadaan kelaparan, lalu membeli roti untuk diberikan kepada anjing itu. Dia memang seorang yang sayangkan haiwan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, secara tiba-tiba, anjing tersebut dikatakan menggigit mangsa pada tangan sebelum pergi ke gerai isterinya dalam keadaan tangan berlumuran darah.
“Saya terus menasihatkannya supaya pergi mendapatkan rawatan di klinik. Semalam dapat berita dia meninggal dunia, memang terkejut dan tidak sangka dia sudah tiada,” ujarnya sambil menyifatkan arwah seorang yang baik.
Jenazah Allahyarham Nik Muhamad Adha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Setol, di sini malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada bulan lalu disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies pada semalam.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, ia merupakan kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri itu sejak 1998.
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.







