
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada Isnin.
Anwar berkata demikian ketika ditanya pengamal media sama ada beliau akan menziarahi isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia susulan laporan media mengenai pemergian Allahyarhamah yang disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir pagi tadi.
“Ya nanti (saya akan pergi),” katanya ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan majlis International Future Conference 2026 (IFC 2026) yang berlangsung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar turut mengenang jasa Allahyarhamah Dr Siti Hasmah kepada negara yang banyak mencurahkan khidmat menerusi kerja kebajikan serta keprihatinan terhadap masalah rakyat ketika bergelar isteri Perdana Menteri.
“Kita juga mengenang jasa dan khidmatnya kepada negara. Tun Siti Hasmah aktif masa dia jadi isteri Perdana Menteri dan tentunya kerja-kerja kebajikan dan keprihatinan terhadap masalah-masalah rakyat,” katanya.
Anwar turut menzahirkan rasa simpati kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya susulan pemergian Allahyarham.
“Tentunya dalam keadaan sekarang kita simpati pada keluarga Tun Mahathir dan keluarga,” tambahnya.


