
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah bot tunda yang membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel tanpa dokumen sah di perairan Sandakan, awal pagi Ahad.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot tunda berkenaan dikesan pasukan operasi ketika sedang bergerak di perairan berkenaan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel yang dipercayai tidak mempunyai dokumen atau kebenaran sah.
“Dua lelaki tempatan berusia 36 dan 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua 10,000 liter minyak diesel bersama bot tunda berkenaan yang dianggarkan bernilai RM552,000 telah ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurut Muhamad Suhairy, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barangan kawalan berjadual, iaitu minyak diesel tanpa kebenaran.
“Kes turut disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan insurans perlindungan dan indemniti (P&I Insurance) serta jumlah kru tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam lesen.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan, khususnya minyak diesel bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan







