
SARATOK – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM16,500 dan gelaran Raja Sungai menjadi taruhan 26 pasukan yang bakal berentap dalam Regatta Krian sempena Pesta Saratok 2026, dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Pertandingan yang berlangsung di Tebingan Sungai Krian, Saratok itu dijangka menyaksikan persaingan sengit menerusi pelbagai kategori perlumbaan membabitkan 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh.
Pengerusi Teknikal Regatta Krian sempena Pesta Saratok 2026, Kaunselor Kasdi Pandi, berkata, sesi taklimat dan cabutan undi lorong bagi pertandingan berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, pada Ahad.

Menurutnya, selain acara utama, kategori pecut bagi 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh turut dipertandingkan bagi memeriahkan suasana di Tebingan Sungai Krian.
“Turut diadakan ialah acara pekayuh 30 marathon dan pekayuh 10 kategori veteran,” katanya.
Sebanyak 26 pasukan mengesahkan penyertaan dalam Regatta Krian 2026, sekali gus dijangka menyemarakkan lagi persaingan sepanjang pertandingan berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Regatta Krian sempena Pesta Saratok 2026 di Tebingan Sungai Krian, Saratok, dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Foto: ADUN Kalaka




