
KOTA KINABALU – Penganjuran Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Musim Ke-16 (CLAS16) dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap penggiat seni muzik di Sabah, selain menjadi platform mencungkil dan mengembangkan bakat anak muda tempatan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan, berkata, penganjuran program berkenaan mampu memberi motivasi kepada penggiat seni untuk terus aktif, meningkatkan kualiti serta kredibiliti masing-masing agar mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“industri muzik dan bidang seni kreatif turut berpotensi membuka peluang ekonomi kepada golongan muda Sabah yang berbakat dalam bidang hiburan.
“Teruslah berkarya, aktif, kembangkan kebolehan diri dan tingkatkan kreativiti yang ada. Pupuk minat itu dan kembangkan lagi supaya satu hari nanti dapat mengangkat nama negeri Sabah ke peringkat lebih tinggi.
“Sokongan terhadap usaha mengangkat bakat anak muda dalam bidang seni kreatif serta berharap lebih banyak bantuan dan sokongan dapat diberikan bagi memperkasa industri muzik tempatan,” ujarnya dalam sidang media di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah di sini, pada Sabtu.
Tambah Mazlan, usaha berterusan dalam membangunkan bakat seni bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada generasi muda, malah berpotensi mengharumkan nama Sabah pada masa hadapan.
CLAS16 yang dianjurkan sejak 2005 menjadi platform mengetengahkan karya dan bakat penggiat muzik tempatan Sabah. Edisi kali ini menyaksikan sembilan karya berentap pada pentas akhir, dengan finalis dipilih berdasarkan pencapaian dalam carta mingguan CLAS menerusi sokongan dan undian pendengar.
Lumangad Oku Dika karya Ryenald Guntabid muncul juara dan membawa pulang RM6,000, diikuti Bintang Menemani Bulan karya Arddley Nicholas di tempat kedua (RM4,000), manakala Memori ciptaan Jun meraih tempat ketiga (RM2,000). Ivy turut meraih Vokal Terbaik, Mixsimus Jumi memenangi Lirik Terbaik dan Qahirah Maisarah dinobatkan pemenang Persembahan Terbaik.




