
BETONG – Penggunaan teknologi dron dilihat mampu mempertingkat kecekapan pengurusan serta produktiviti sektor pertanian di Bahagian Betong, sekali gus menyokong usaha Sarawak memperkukuh pengeluaran makanan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penerapan teknologi moden dalam sektor berkenaan penting bagi memenuhi keperluan pengeluaran makanan yang semakin berkembang.
Menurut beliau, penggunaan dron dalam aktiviti pertanian perlu disokong tenaga kerja berkemahiran yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan berkaitan supaya teknologi itu dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Pendekatan berasaskan teknologi juga perlu diterapkan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti, selain membantu Sarawak memperkukuh pengeluaran makanan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Dron adalah penting dan kita perlu ada tenaga yang boleh mengendalikan serta menguruskan teknologi ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong pada Sabtu.
Abang Johari berkata, penerapan teknologi terkini turut membuka ruang lebih luas kepada Betong untuk mengembangkan potensinya sebagai kawasan pengeluaran hasil pertanian.
Katanya, keadaan tanah yang bersesuaian selain peluang memperluaskan pengeluaran makanan menjadi antara faktor yang boleh menyokong pembangunan sektor pertanian di bahagian berkenaan.
“Penggunaan teknologi moden ini akan membolehkan potensi kawasan pertanian di Betong dimanfaatkan dengan lebih berkesan,” katanya.




