
BETONG – Penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak belum sampai ke peringkat proses rasmi, sekali gus menjelaskan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini belum menerima sebarang cadangan mengenainya.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu tidak bercanggah dengan persetujuan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Menurutnya, cadangan berhubung penambahan kerusi perlu melalui beberapa peringkat ditetapkan termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan serta kelulusan Parlimen sebelum proses persempadanan semula boleh dilaksanakan.
“Pengerusi SPR kata beliau belum menerima kerana memang belum ada, proses belum bermula.
“Apabila proses berjalan, barulah perkara itu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong pada Sabtu.
Abang Johari berkata, jumlah kerusi yang bakal ditambah juga masih belum diputuskan dan perkara itu tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau hendak tambah, berapa hendak ditambah itu terpulang kepada kerajaan kerana ia melibatkan Parlimen.
“Selepas itu, ia mesti dibawa ke Parlimen dahulu sebelum proses seterusnya seperti pewartaan dan penyusunan semula sempadan kawasan dilaksanakan,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses persempadanan semula kelak akan melibatkan pameran cadangan sempadan bagi membolehkan pihak berkepentingan mengemukakan bantahan sebelum proses berkenaan diteruskan.
Kenyataan itu susulan pengumuman SPR pada 25 September lalu yang memaklumkan tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini.
Pada masa sama, hanya Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 sedang dipamerkan kepada orang ramai sehingga 30 September 2026.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Bagaimanapun, mekanisme serta jumlah kerusi yang bakal ditambah masih memerlukan perbincangan lanjut.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




