SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau masih menunggu surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Tunggu surat,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM, pada Sabtu.
Trending Hari Ini
Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau dilaporkan berkata, menteri dan timbalan menteri DAP lain akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri sebelum ini berkata, beliau sudah menasihati Loke supaya mempertimbangkan semula keputusan itu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Setiausaha Agung DAP terbabit bagi mendengar penjelasan rasmi.
Anwar turut berkata, DAP tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak yang mempunyai kepentingan politik untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan hanya kerana mahu melihat pentadbiran menjadi tidak stabil.
Katanya, beliau menghormati Loke dan prinsip DAP yang sejak sekian lama menentang kleptokrasi serta rasuah, yang menyukarkan parti itu berdepan keputusan Lembaga Pengampunan.
Bagaimanapun Loke dilaporkan mengekalkan pendiriannya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet dengan surat peletakan jawatan akan diserahkan selepas kembali ke Malaysia dari China.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini membenarkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada syarat termasuk denda RM50 juta.


