PUTRAJAYA – Siasatan isu kelewatan pembekalan baja di Kedah yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai sepenuhnya, dengan dua individu dijangka dituduh dalam tempoh terdekat ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memperakukan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat.
Menurut beliau, pertuduhan akan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM, berkaitan penyelewengan dan dokumen palsu.
“Penyiasatan bagi pengedaran baja kepada petani-petani di Kedah sudah pun selesai.
“Kes ini akan dirujuk kepada Peguam Negara dan seandainya diberikan keizinan oleh Peguam Negara, maka kemungkinan pertuduhan akan berlangsung minggu depan atau minggu satu lagi.
“Kita akan daftar pertuduhan itu di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5, pada Jumaat.
Ditanya adakah terdapat kenamaan termasuk ‘orang kerajaan’ akan dituduh dalam kes kelewatan baja berkenaan, Abd Halim berkata perkara itu tidak boleh didedahkan setakat ini.
“Tak boleh didedahkan. Tunggulah,” katanya ringkas
Pada 12 September lalu, seorang pengarah urusan di sebuah syarikat pembekal baja yang dikaitkan isu kelewatan pengagihan input pertanian itu di Kedah ditahan SPRM.
Minggu lalu, Abd Halim juga mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamed Sabu dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan, Datuk Isham Ishak bagi membantu siasatan isu kelewatan pembekalan baja di Kedah.
Keterangan mereka diambil pada 15 dan 16 September lalu.



