
RAUB – Dua warga Myanmar ditahan selepas dipercayai menyerang seorang anggota polis yang menegur mereka kerana bermain muzik dengan kuat di tepi jalan di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun, yang bekerja di sebuah ladang, dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian jam 2.45 pagi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, anggota polis berpangkat koperal itu ke lokasi selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung.
“Selepas ditegur, kedua-dua suspek naik marah sebelum menyerang anggota polis berkenaan.
“Akibat kejadian, mangsa bengkak pada kepala serta beberapa bahagian badan dan kini menerima rawatan di Hospital Raub,” katanya, lapor Berita Harian.
Azry berkata, dua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.



