
TAWAU – Perkhidmatan Bas Pink wajar diperluas ke Tawau dan Sandakan, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, perkhidmatan Bas Pink yang dicubanya baru-baru ini bersama keluarga di Kota Kinabalu itu selesa dan menawarkan kadar tambang yang berpatutan.
“Saya berkesempatan mencuba Bas Pink laluan S06 bersama keluarga.
“Pada pandangan saya, perkhidmatan ini selesa dan tambangnya juga berpatutan,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, pada Khamis.
Menurut Suryady, pengalaman menggunakan pengangkutan awam penting bagi melihat sendiri keperluan dan kemudahan yang boleh ditambah baik demi keselesaan masyarakat.
“Ini memberi gambaran secara langsung mengenai tahap keselesaan dan kemudahan yang disediakan kepada pengguna pengangkutan awam.
“Saya berpandangan jumlah perhentian bas juga boleh ditambah bagi memudahkan lebih ramai penduduk menggunakan perkhidmatan berkenaan,” ujarnya.
Bas Pink, yang dikenali sebagai BAS.MY Kota Kinabalu, kini beroperasi di lapan laluan utama dengan 48 bas bagi menghubungkan kawasan sekitar bandar raya itu. Semua laluan berkenaan mula beroperasi sepenuhnya pada 11 Ogos lalu.
Menurut Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, perkhidmatan itu merekodkan 194,265 penumpang setakat 10 Ogos lalu, menunjukkan sambutan terhadap pilihan pengangkutan awam berkenaan di Kota Kinabalu.



