PUTRAJAYA – Pemansuhan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak semestinya menggugat masa depan pemilikan Bumiputera dalam industri berkenaan.
Sebaliknya, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpandangan, langkah itu menuntut keperluan untuk KPM memiliki strategi alternatif bagi membina dan memperkukuh kapasiti pemilikan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta.
Menurut beliau, keterbukaan pasaran dan usaha memperluas pemilikan Bumiputera tidak semestinya menjadi dua agenda yang bertentangan, malah kedua-duanya boleh bergerak seiring menerusi pendekatan dasar yang bersesuaian selain memastikan golongan itu mempunyai peluang membina pemilikan dalam industri pendidikan swasta.
“Pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus tidaklah dengan sendirinya terus menggugat masa depan pemilikan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta. Namun, ia akan tetap menjadi persoalan. Misalnya, apabila pasaran dibuka, apakah strategi membina syarikat pendidikan swasta milik Bumiputera yang kompetitif?
“Jika pelaburan mahu diperluas, bagaimana modal Bumiputera dapat digerakkan? Jika industri pendidikan swasta terus berkembang, apakah sasaran pemilikan Bumiputera yang mahu dicapai dalam tempoh 10 atau 20 tahun. Paling penting, siapakah sebenarnya akan memiliki aset dan ekuiti daripada pertumbuhan industri pendidikan swasta di Malaysia? Soalan-soalan ini memerlukan jawapan yang rasional berasaskan data,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, bentuk penyelarasan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera selepas pemansuhan perlu dilakukan berikutan pendidikan swasta bukan sahaja sekadar membina modal insan mahupuj pelengkap kepada pendidikan awam, tetapi juga membina modal ekonomi.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM memaklumkan, industri pendidikan swasta juga berkait dengan nilai hartanah dan pembinaan melalui pembangunan kampus serta industri teknologi melalui edtech.
“Ia turut terkait dengan perkhidmatan profesional melalui pengurusan dan konsultasi selain mempunyai hubungan dengan pendidikan antarabangsa yang mempunyai dimensi ekonomi rentas sempadan melalui kemasukan pelajar antarabangsa.
“Justeru, strategi pendidikan swasta negara tidak harus hanya berbincang mengenai siapa mendapat pendidikan, tetapi juga siapa yang membina dan memiliki ekonomi pendidikan kerana di sinilah agenda pembangunan modal insan perlu dikaitkan dengan agenda pembangunan pemilikan modal,” katanya.

Sehubungan itu, Anuar turut menyeru kerajaan mempertimbangkan pewujudan Data Pemilikan Bumiputera dalam Industri Pendidikan Swasta yang boleh menjadi instrumen untuk mengetahui kedudukan sebenar pemilikan Bumiputera dari tahun ke tahun.
“Antara indikator yang boleh diukur ialah nilai aset pendidikan yang dimiliki, nilai ekuiti syarikat, jumlah institusi pendidikan milik Bumiputera, jumlah syarikat pendidikan dan edtech, nilai pelaburan, kadar pertumbuhan syarikat, jumlah pekerja dan penglibatan dalam pasaran pendidikan antarabangsa.
“Dengan adanya ukuran sedemikian, kerajaan boleh menilai sama ada dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera benar-benar menghasilkan perubahan struktur pemilikan atau hanya meningkatkan penyertaan tenaga kerja bumiputera,” katanya.
Katanya, Jabatan Statistik pada 2022 melaporkan terdapat 18,242 institusi pendidikan swasta di Malaysia dengan 186,354 pekerja industri pendidikan swasta, RM24.1 bilion hasil, RM15.1 bilion nilai tambah dan RM21 bilion aset tetap.
Anuar memaklumkan, data tersebut mempamerkan pendidikan swasta adalah sumber ekonomi yang besar dan mempunyai saling gantung dengan banyak sektor lain.
“Kita juga perlu mengetahui struktur pemilikan aset. Berapakah nilai aset pendidikan swasta yang dimiliki Bumiputera? Berapakah bangunan sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai pemilikan Bumiputera? Berapakah syarikat pendidikan dan teknologi pendidikan yang dimiliki Bumiputera? Berapakah nilai ekuiti mereka?
“Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan data pendidikan biasa kerana statistik pendidikan lazimnya hanya mengukur bilangan pelajar, guru, institusi dan pencapaian. Kita perlukan data pemilikan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta. Tanpa data itu, perdebatan tentang pemilikan Bumiputera mudah menjadi sekadar andaian,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar menyeru KPM agar mempertimbangkan penubuhan Dana Ekuiti Pendidikan Bumiputera untuk pelaburan dalam syarikat pendidikan Bumiputera yang berpotensi, skim pembiayaan pengambilalihan institusi pendidikan sedia ada dan skim padanan pelaburan antara kerajaan, institusi kewangan serta pelabur swasta.
“Jika pendekatan kerajaan sekarang lebih kepada menekankan keterbukaan pasaran, maka agenda pemilikan Bumiputera memerlukan instrumen afirmatif berbeza. Fokusnya bukan semata-mata memberikan perlindungan kepada syarikat pendidikan swasta Bumiputera, tetapi untuk membina keupayaan mereka bersaing dan berkembang.
“Syarikat pendidikan Bumiputera perlu disokong untuk mencapai skala lebih besar melalui modal pertumbuhan, pengurusan profesional, penggabungan dan kerjasama strategik, itu mengubah strategi dan dasar daripada hanya melindungi penyertaan bumiputera kepada membina daya saing bumiputera dalam industri pendidikan swasta,” katanya




