
IPOH – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh, Jalan Laksamana, di sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.25 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah.
“Mangsa yang berusia 24 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), sekitar jam 10.30 pagi bagi menjalani proses bedah siasat.
“Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.






