
KOTA KINABALU – Inisiatif diskaun bil elektrik 25 peratus kepada pengguna domestik di Sarawak boleh dijadikan rujukan untuk menilai bentuk bantuan yang sesuai dengan keadaan dan kemampuan Sabah.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan berkata, inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak bagi tempoh April hingga Disember 2026 itu wajar diteliti ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
“Langkah itu boleh menjadi antara rujukan untuk melihat apakah bentuk mekanisme bantuan yang bersesuaian dengan keadaan dan kemampuan Sabah.
“Persoalannya, apakah bentuk bantuan tambahan yang boleh dipertimbangkan di Sabah bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, David berkata, YPNM Sabah mencadangkan rebat atau diskaun elektrik secara bersasar kepada isi rumah yang memerlukan, khususnya golongan B40 dan M40, bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sokongan sementara kepada perniagaan juga boleh dipertimbangkan.
“Kos elektrik memerlukan perhatian kerana kenaikannya berpotensi meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan kos operasi perniagaan, yang akhirnya boleh memberi kesan kepada harga barangan serta perkhidmatan.
“Dalam keadaan rakyat sedang berjimat dan menyusun perbelanjaan harian, kita perlu memastikan sebarang perubahan kos keperluan asas tidak menambahkan lagi tekanan kepada mereka,” jelasnya.
David turut berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tenaga berkaitan memberi penjelasan jelas mengenai faktor pelarasan tarif elektrik serta langkah untuk mengurangkan kesannya terhadap pengguna.
Tambahnya, YPNM Sabah memahami pembangunan dan penyelenggaraan sistem bekalan elektrik memerlukan pelaburan besar bagi memastikan bekalan negeri stabil, namun kemampuan pengguna untuk membayar perlu diambil kira.
“Penyelesaian yang seimbang perlu dicari supaya keperluan memperkukuh sektor tenaga dapat berjalan seiring dengan kepentingan dan kemampuan rakyat,” katanya.






