
LAHAD DATU – Seorang lelaki berumur 30-an maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Puyut, di sini, tengah hari Rabu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pukul 12.47 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain tidak dikenali oleh penduduk setempat,” menurut JBPM Sabah, pada Rabu.
Tambah kenyataan tersebut, operasi mengeluarkan mangsa kemudian dijalankan menggunakan ‘stretcher’ dan tali bagi membawa mangsa ke kawasan yang selamat selepas pihak Sabah Electricity memotong bekalan elektrik di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum memastikan kawasan sekitar selamat lalu menamatkan operasi pukul 1.36 petang.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki melecur selepas rumah yang disewanya di Jalan Hilir 2 Kampung Tabanak musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Lelaki berumur 40 tahun itu dikejarkan ke Hospital Lahad Datu oleh orang awam untuk rawatan lanjut.
“Bomba kemudian memulakan operasi pemadaman sebuah rumah jenis tidak kekal itu menggunakan sumber air terbuka.
“Operasi tamat 12 tengah hari,” kongsi JBPM Sabah.






