SHANGHAI – Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda lawatan kerja beliau ke China hari ini dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, pelaburan dan pembangunan kemahiran.
Perdana Menteri dijadual mengadakan perbincangan meja bulat bersama kira-kira 21 pemimpin industri China sebelum menyampaikan ucaptama pada Persidangan WorldSkills 2026, di sini.
Sesi bersama pemimpin industri itu antara lain bertujuan menarik pelaburan berkualiti dan berimpak ke Malaysia.
Anwar kemudian dijangka menghadiri majlis pembukaan Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang, di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC).
Pertandingan WorldSkills Ke-48 yang berlangsung dari 22 hingga 27 September itu menghimpunkan kira-kira 1,400 belia berkemahiran dari lebih 65 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 64 kategori kemahiran.
Malaysia diwakili 22 peserta dalam 21 kategori kemahiran menerusi agenda Road to Gold, yang menyasarkan pingat emas pertama negara pada pertandingan berprestij berkenaan.
Pada sebelah petang, Anwar dan delegasi akan menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang, bagi meneruskan lawatan kerja.
Di Hangzhou, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan peneraju syarikat teknologi termasuk AgiBot, Huawei dan Alibaba Group, selain syarikat automotif Geely serta ZTE Group.
Anwar turut dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Li Qiang sebelum melancarkan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times versi bahasa Mandarin.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Perdana Menteri tiba di Shanghai semalam untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.






