
SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali malam tadi, keputusan itu dibuat selepas kesemua Exco didapati memungkiri sumpah jawatan mereka.
Katanya, berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Kesemua Exco terbabit sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, mereka berikrar untuk taat setia kepada Tuanku Muhriz dan Institusi Diraja, selain bersumpah melindungi serta memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Mereka turut berikrar mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Kesemua mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September.
“Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Setiap individu terbabit juga telah dimaklumkan mengenai pembatalan pelantikan berkenaan melalui warkah.

Susulan keputusan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tuanku Muhriz turut menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan tanpa gangguan atau halangan, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
Seramai 10 Exco yang dilantik pada Ogos lalu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.






