
MUKAH – Seorang pekerja warganegara Indonesia dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari sebuah tongkang ke dalam sungai berhampiran kawasan pembinaan Jambatan Igan pada petang Sabtu.
Mangsa yang dikenali sebagai Saiful Bahri, 33, disedari hilang oleh rakan sekerjanya pada kira-kira jam 6.15 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah dikejarkan ke lokasi insiden susulan penerimaan panggilan kecemasan pada jam 7.47 malam.
“Rakan sekerja mangsa yang menyedari insiden itu segera memaklumkan kepada pengurus sebelum usaha pencarian awal menggunakan bot tempatan dijalankan di sekitar lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, operasi pencarian awal oleh pekerja di situ selama lebih sejam gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan menggunakan teknik pencarian di permukaan air (water surface searching) merangkumi radius kira-kira tiga kilometer dari titik mangsa dipercayai terjatuh.
Kali terakhir dilihat, mangsa dilaporkan memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan berseluar jeans.
Operasi SAR yang ditangguhkan pada malam Sabtu telah disambung semula pada Ahad dengan penglibatan bersepadu pelbagai agensi keselamatan.
Operasi pencarian ini melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pejabat Daerah Mukah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), serta pihak kontraktor.






