PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan memilih pendekatan penuh hikmah ketika menjawab kontroversi penempatan 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye, walaupun isu tersebut boleh digunakan untuk memberikan gambaran politik negatif terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, Anwar mempunyai ruang untuk memberikan jawapan yang boleh menjejaskan imej politik timbalannya, namun memilih untuk menjelaskan perkara tersebut secara berhemah.
“Beliau boleh menjawab secara politik untuk memberi optik negatif kepada DS Zahid,” katanya ketika mengulas jawapan Anwar berhubung kesediaan kerajaan Turkiye menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.
Bagaimanapun, menurut Mohd Yusri, pendekatan yang ditunjukkan Perdana Menteri menggambarkan hubungan baik antara kedua-dua pemimpin apabila Anwar tidak menggunakan kontroversi tersebut untuk menyerang Zahid.
“Tapi beliau memilih untuk menjawab dengan hikmah, mempamerkan kasih beliau kepada timbalannya. Itulah Anwar,” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan Turkiye belum bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menempatkan 10,000 pelarian Rohingya di negara itu.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah mendapatkan pengesahan terus daripada kerajaan Turkiye dua hari lalu bahawa negara berkenaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan tersebut kerana sudah menampung lebih empat juta pelarian dari beberapa negara lain.
Anwar turut menjelaskan bahawa kenyataan Zahid sebelum ini dibuat dalam konteks usaha Malaysia mencari negara ketiga yang sanggup menerima sebahagian pelarian Rohingya, selaras dengan pendirian kerajaan untuk menangani isu berkenaan melalui kerjasama antarabangsa.
Kontroversi itu tercetus selepas Zahid pada 20 November mengumumkan Malaysia dan Turkiye telah bersetuju menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya menerusi program latihan kemahiran, sebelum hantaran Facebook berkenaan dipadam dan pihak Turkiye menafikan dakwaan persetujuan tersebut.
Anwar bagaimanapun menyatakan Malaysia menghormati keputusan Turkiye, memaklumkan perkembangan itu telah disampaikan kepada Zahid dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, sekali gus memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar permohonan berkenaan tanpa menjadikan pertikaian itu sebagai serangan peribadi terhadap timbalannya.



