
LAHAD DATU – Seramai 5,233 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dihantar pulang ke negara masing-masing sejak 1 Januari tahun ini hingga Khamis.
Jabatan Imigresen Sabah memaklumkan, daripada jumlah itu, 3,455 warganegara Filipina, Indonesia (1,488), Pakistan (120), China (127), Vietnam (21) dan lain-lain warganegara seramai 22 orang.
“Terbaharu, 272 warga Filipina daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dipindah melalui ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan kemudahan feri komersial.
“Ia melibatkan 166 lelaki, 63 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan berumur 6 bulan hingga 68 tahun,” menurut Imigresen Sabah, pada Jumaat.

15 September lalu, dua lelaki dan seorang wanita dari Depot Imigresen Papar juga dipindah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan secara terus ke Manila, Filipina.
Jelas Imigresen Sabah, semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Travel Document (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.



