
KOTA KINABALU – Penambahbaikan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Malaysia disifatkan signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di kedua-dua wilayah itu.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah Sarwak berkata, penambahbaikan berkuat kuasa serta-merta pada 16 September 2026 itu mengambil kira antara lain amalan kenderaan “sambung bayar”, pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah serta kebergantungan lebih tinggi terhadap kenderaan jenis jip dan pikap.
“Di bawah ketetapan baharu itu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada warganegara Malaysia yang layak dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
“Pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian juga boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Saya menyambut baik Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Hari Malaysia untuk menambah baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dan berkuat kuasa serta-merta pada 16 September 2026,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut Mustapha, langkah berkenaan menunjukkan kerajaan mengambil kira keadaan sebenar masyarakat di Sabah dan Sarawak dalam menambah baik pelaksanaan dasar berkaitan subsidi diesel.
“Saya melihat penambahbaikan itu sebagai bukti bahawa Perdana Menteri mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan keperluan penggunaan kenderaan diesel dalam kehidupan seharian.
“Bagaimanapun, dasar yang baik hanya akan mencapai matlamat apabila rakyat di peringkat akar umbi dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan memperkukuh kerjasama dengan struktur kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Antara struktur yang boleh dimanfaatkan termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah serta rangkaian Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak.
“Jaringan kepimpinan akar umbi ini berada paling dekat dengan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat, mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan serta membimbing rakyat dalam proses semakan kelayakan, permohonan, rayuan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan BUDI Diesel tidak seharusnya bergantung kepada portal dalam talian semata-mata, mengambil kira realiti geografi Sabah dan Sarawak, terutama masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya mencadangkan supaya program seperti Kaunter Bergerak BUDI Diesel diperluaskan melalui kerjasama UPPM di Sabah, KMKK dan JKKK di Sarawak, Pejabat Daerah, KPDN serta agensi berkaitan.
“Pendekatan secara bersemuka dan bersifat hands-on itu penting bagi memastikan tiada rakyat tercicir hanya kerana kurang mendapat maklumat, tidak memahami prosedur permohonan atau berdepan kekangan akses digital.
“Saya turut memberi jaminan bahawa maklum balas berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak akan terus dibawa ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri supaya isu berkenaan mendapat perhatian berterusan Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.



