
KUCHING – Kementerian Komunikasi memberi jaminan bahawa kelancaran capaian internet di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan sekitar 5,000 tetamu sempena malam kemuncak Sambutan Hari Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama syarikat telekomunikasi memulakan gerak kerja di tapak acara sejak Ahad lalu bagi memastikan penyediaan infrastruktur rangkaian berjalan dengan lancar.
“Bagi memastikan setiap tetamu dan petugas media yang hadir pada malam ini dapat menikmati capaian internet yang pantas, beberapa langkah penambahbaikan sementara telah dilaksanakan. Ini termasuk penyediaan fasiliti capaian (Access Point) di dalam dewan serta penempatan kenderaan Cell on Wheels (COW).
“Malah, pihak Telekom Malaysia (TM) juga telah menaik taraf kelajuan internet daripada perancangan awal 800 Megabit sesaat (Mbps) kepada 2 Gigabit sesaat (Gbps),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tinjauan ke Pusat Operasi Rangkaian (NOC) di BCCK pada Rabu.
Lawatan tersebut turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi MCMC termasuk Pengarah MCMC Sarawak.
Teo turut merakamkan penghargaan kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti TM, CelcomDigi, Maxis, U Mobile, XOX, dan Digital Nasional Berhad (DNB) atas komitmen strategik mereka dalam menjayakan kelancaran sambutan bersejarah tersebut.





