
SANDAKAN – Pemerkasaan wanita perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi perhatian terhadap aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, perlindungan serta peluang ekonomi bagi memastikan golongan itu terus menjadi pemacu pembangunan negeri.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, wanita bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan, pemimpin komuniti, penggerak ekonomi dan tonggak keluarga.
Katanya, apabila wanita mempunyai akses yang adil kepada pendidikan, kesihatan, perlindungan, teknologi, peluang ekonomi dan ruang kepimpinan, manfaatnya bukan hanya kepada individu, tetapi turut membawa perubahan kepada keluarga, masyarakat dan negeri
“Usaha memperkasakan wanita juga perlu merangkumi golongan rentan seperti ibu tunggal, wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, wanita kurang upaya, warga emas dan penjaga.
“Setiap kumpulan mempunyai cabaran serta keperluan berbeza dan suara masyarakat perlu diambil kira bagi memastikan program yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat,” katanyasemasa merasmikan Karnival Persona Wanita Daerah Sandakan di sini, pada Sabtu.

Pada masa sama, Julita memberitahu, wanita perlu diperkukuh dengan kemahiran, literasi kewangan dan digital, akses kepada pasaran, bimbingan perniagaan serta jaringan yang sesuai.
“Apabila pendapatan wanita meningkat, ketahanan keluarga turut bertambah dan ekonomi setempat menjadi lebih dinamik,”ujarnya.
Dalam pada itu, Julita berkata, penganjuran Karnival Persona Wanita membuktikan agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat tidak hanya tertumpu di ibu negeri, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat luar bandar.
“Pertubuhan wanita dan pemimpin masyarakat pula diharapkan dapat menjadi mata dan telinga kerajaan dengan mengenal pasti isu di lapangan serta menghubungkan mereka yang memerlukan kepada saluran bantuan yang betul.
“Usaha memperkasakan wanita memerlukan sokongan semua pihak, termasuk kaum lelaki terutama dalam perkongsian tanggungjawab keluarga, keselamatan, pendidikan anak-anak serta menghormati hak wanita.
“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kukuh, apabila keluarga kukuh, masyarakat menjadi lebih sejahtera, seterusnya memacu pembangunan negeri yang lebih maju,” kongsinya.

Tambahnya, Karnival Persona Wanita wajar diteruskan dan diperluaskan khususnya ke kawasan pedalaman bagi memastikan masyarakat mendapat akses lebih mudah kepada perkhidmatan, maklumat dan sokongan yang diperlukan.
Karnival berkenaan yang melibatkan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS), Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah,
Turut serta, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta rakan strategik lain turut menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk literasi perundangan, Klinik Guaman, kesihatan dan kebajikan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, nasihat, saringan serta bantuan yang diperlukan.


