
MIRI – Sekeping kad rawatan klinik lama kini bertukar menjadi memori bermakna buat seorang bekas pesakit dalam mengenang khidmat bakti mendiang Alexson Adit, yang merupakan salah seorang mangsa terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang.
Dayang Sufyina Awang Jaya berkata, ingatannya terhadap Pembantu Perubatan itu terimbau kembali selepas melihat gambar mangsa nahas yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, wajah mangsa yang seakan-akan dikenalinya itu telah mendorong beliau untuk mencari semula kad klinik lama yang pernah digunakan ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Bekenu pada suatu ketika dahulu.
“Apabila tengok gambar itu, saya rasa macam pernah kenal. Sebab itu saya terus selongkar kad klinik lama yang masih saya simpan.
“Bila tengok ada nama dan cop beliau pada kad itu, saya terus tergamam. Sedih kerana baru sedar individu yang pernah melayan kami di klinik itu adalah antara mangsa nahas,” katanya.
Mengimbau kembali pengalaman tersebut, Dayang Sufyina menyifatkan mendiang Alexson sebagai seorang petugas kesihatan yang sentiasa ceria, gemar bergurau, dan sangat berlemah lembut ketika menyantuni pesakit.
Menurutnya, perkhidmatan cemerlang mendiang pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk setempat yang pernah mendapatkan rawatan di situ.
Mendiang sebelum ini pernah menabur bakti di KK Bekenu sebelum dipindahkan ke stesen lain, dan seterusnya menyertai pasukan FDS bagi menyantuni keperluan kesihatan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar diakses.
Beliau merupakan antara lima individu yang maut apabila pesawat jenis BO 105 yang dinaiki mereka terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.
Tragedi tersebut turut meragut nyawa juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham; Pegawai Perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya Jok.
Bagi Dayang Sufyina, naskhah kad lama tersebut kini bukan sekadar rekod perubatan biasa, sebaliknya menjadi kenangan abadi terhadap budi dan pengorbanan seorang wira barisan hadapan negara.
Foto: Dayang Sufyina Awang Jaya




