
KUALA LUMPUR – Wanita muda khususnya berusia bawah 40 tahun perlu diberikan lebih banyak peluang dan kepercayaan untuk menerajui organisasi serta terlibat dalam proses membuat keputusan, bukan hanya berperanan sebagai penggerak jentera.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Nur’ul Zulaiq’qah Jamaluddin berkata, laluan kepimpinan khusus bagi golongan itu boleh menjadi platform untuk mereka mendapatkan latihan, membina pengalaman dan meningkatkan kemahiran sebelum memikul tanggungjawab lebih besar pada masa depan.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan cadangan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, yang mahu wanita muda diberi ruang sebenar dalam kepimpinan termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan, badan berkanun dan sektor pembuat dasar.
“Pada pandangan saya, ini satu permulaan, laluan ataupun peluang untuk wanita muda khususnya bawah 40 tahun supaya mereka boleh dilatih dalam sesuatu organisasi ataupun dapat menambah baik kemahiran mereka dalam memimpin dan sebagainya.
“Jadi, wanita muda ini bukan sekadar penggerak jentera, tetapi perlu diberi peluang untuk menjadi pemimpin dalam perkara yang jelas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO yang antara lain menuntut ruang lebih besar kepada wanita muda bawah 40 tahun untuk memegang peranan kepimpinan.
Nur’ul Zulaiqah berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian kerana peluang kepada wanita muda untuk membina pengalaman kepimpinan khususnya dalam agensi dan organisasi berkaitan kerajaan masih boleh diperluas.
Katanya, penyediaan laluan khas itu bukan sekadar soal memenuhi sasaran penyertaan wanita, sebaliknya penting untuk melahirkan kelompok pemimpin wanita muda yang mempunyai pengalaman dan kemahiran kepimpinan.
“Saya mengharapkan apa yang diperkatakan oleh Datuk Nurul Amal itu diangkat dan semoga peluang ataupun kepercayaan untuk wanita muda khususnya bawah 40 tahun itu diberikan kepada mereka.
“Ini bagi memberi mereka peluang untuk belajar cara memimpin untuk masa yang akan datang,” katanya.
Mengulas cadangan menetapkan peratusan tertentu bagi penyertaan wanita muda dalam jawatan kepimpinan, beliau berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut keperluan untuk menyediakan peluang kepada golongan berkenaan.
“Kalau boleh saya tidak membahaskan niat sesuatu, tetapi jika diperlukan, peluang itu adalah peluang yang perlu dilihat sebenarnya,” katanya.
Cadangan memperluas ruang kepimpinan kepada wanita muda itu turut selari dengan usaha Puteri UMNO untuk memastikan sasaran penyertaan wanita tidak hanya diterjemahkan dalam bentuk angka, sebaliknya membuka ruang kepada golongan berkenaan berada di peringkat membuat keputusan.
Sebelum ini, Puteri UMNO turut menekankan keperluan memastikan sasaran 30 peratus penyertaan wanita diterjemahkan kepada peluang sebenar dalam kepimpinan, termasuk memberi ruang kepada wanita muda berusia bawah 40 tahun.



