KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO merancang bagi melaksanakan satu himpunan yang melibatkan pelbagai aktiviti dalam usaha menyatukan ummah dalam tempoh waktu terdekat
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya akan duduk berbincang dengan lebih teliti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi memastikan penyatuan ummah akan kekal sampai bila-bila.
“Salam yang dihulur sama-sama kita sahut untuk membina penyatuan dan saya rasa senang hati dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO telah menyebut dan menyahut seruan ke arah penyatuan dan sama-sama akan menggerakkan satu himpuan gerakan ummah.
“Insya-Allah kami akan duduk bersama bincang lebih teliti bagaimana kita hendak gerakkan aktiviti-aktiviti ke arah menjayakan penyatuan ummah.
“Bukan setakat kita akan berhimpun tetapi kita hendak buat pelbagai perkara yang akhir menyatukan ummah bukan setakat dalam pilihan raya tetapi sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui media selepas hadir ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut merakam penghargaan kepada Akmal di mana dalam ucapan dasarnya kekal dengan ketegasan sayap itu yang tidak akan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Saya terharu dengan pendirian Afnan untuk tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka jika berlaku kerjasama antara Barisan Nasional dan PH,” katanya.
Kehadiran delegasi berkenaan dilihat sebagai kunjungan balas selepas Dr Muhamad Akmal mengetuai 25 delegasi parti itu menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67 di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September lalu.
Kunjungan tersebut sekali gus memperlihatkan keterlibatan kepemimpinan sayap pemuda kedua-dua parti dalam program rasmi masing-masing.
Sebelum ini, kehadiran delegasi Pemuda UMNO pada Muktamar Dewan Pemuda Pas mencuri perhatian dan disifatkan sebagai simbolik hubungan antara kedua-dua parti Melayu berkenaan.





