
KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dengan parti politik lain tidak akan menghakis identiti dan asas perjuangan parti itu, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, identiti UMNO kekal berteraskan asas yang termaktub dalam perlembagaan parti, termasuk berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Katanya, pada masa sama UMNO tetap perlu merangkul masyarakat pelbagai kaum dengan memastikan hak semua pihak dihormati.
“Di bawah perlembagaan itu ada termaktub perkataan yang Islam, agama Persekutuan, Bumiputera, Melayu dan semuanya itu. Itu yang membuatkan UMNO ini satu parti yang saya kira kekal dengan imej dan identiti kita sendiri.
“Dan Insya-Allah tak akan berubah,” katanya ketika The Malaysia Press (TMP) ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Noraini berkata, mempertahankan identiti parti tidak bermaksud UMNO mengetepikan masyarakat bukan Melayu, sebaliknya pendekatan inklusif perlu terus menjadi sebahagian daripada usaha parti mendekati rakyat.
“Kita tidak mengenepikan hak-hak bukan Melayu dan Bumiputera. Tapi waktu yang sama kita kuatkan identiti kita tanpa menidakkan yang lain.
“Sebab masyarakat Malaysia ini adalah masyarakat yang majmuk. Dan masyarakat yang majmuk kita duduk berbilang kaum, berbilang bangsa dan itu yang uniknya dan istimewanya Malaysia ini,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan UMNO dapat terus memainkan peranan dalam masyarakat berbilang kaum tanpa mengorbankan prinsip asas perjuangan parti.
Katanya, kekuatan UMNO terletak pada keupayaannya membawa suara Melayu dan Bumiputera, selain pada masa sama memahami realiti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Noraini berkata, pendekatan sedemikian juga membolehkan UMNO terus memainkan peranan sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera sambil memastikan kepentingan masyarakat keseluruhannya tidak diketepikan.







