
KUALA LUMPUR – Sebarang usaha gabungan UMNO dan Pas perlu dilihat dalam kerangka lebih besar dengan matlamat bukan sahaja menyatupadukan orang Melayu, malah memperkukuh kestabilan politik serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.
Beliau berkata, UMNO terbuka terhadap sebarang gabungan yang mampu membawa manfaat, khususnya dalam usaha penyatuan orang Melayu selaras dengan asas penubuhan parti itu.
“Bagi kami, apa saja gabungan yang boleh memberi manfaat, terutamanya tentang soal penyatuan orang Melayu. Kerana itu sebagai asas tujuan parti ini ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu.
“Tetapi ia perlu kita lihat dari segi gambar rajah yang lebih besar,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Syed Hussien berkata, kerjasama politik juga perlu mengambil kira kepentingan kestabilan politik dan masyarakat kerana ketidakstabilan boleh memberi kesan terhadap ekonomi serta imej negara di peringkat antarabangsa.
Katanya, gabungan berkenaan perlu dibuktikan mampu memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan tidak dilihat sebagai usaha yang hanya menguntungkan satu kelompok.
“Gabungan ini mampu memberi manfaat yang baik. Pada masa yang sama kita perlu juga membuktikan kepada bangsa lain bahawa gabungan ini juga bukan saja tentang menyatupadukan orang Melayu, tetapi mampu menyatupadukan seluruh etnik dan juga bangsa di dalam negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata, usaha penyatuan Melayu juga perlu dilakukan secara nyata dan tidak sekadar menjadi slogan politik.
“Ia mesti dilakukan secara fizikal. Ia tidak boleh hanya sekadar perkataan,” katanya.
Syed Hussien yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, pada masa sama, penyatuan berkenaan perlu memberi keyakinan kepada kaum lain bahawa ia turut membawa manfaat kepada mereka yang hidup bersama dalam sebuah negara yang aman dan majmuk.






