
KUALA LUMPUR – Wakil Wanita UMNO mencadangkan pindaan perlembagaan parti bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Wanita UMNO Padang Terap, Suraiya Md Isa berkata, langkah itu penting bagi memastikan penyertaan wanita dalam politik negara tidak sekadar bergantung kepada komitmen parti, sebaliknya disokong melalui peruntukan yang lebih kukuh.
Beliau berkata, cadangan berkenaan bukan perkara baharu kerana pernah disyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sebelum ini.
“Tuntutan kita hari ini jelas, calon wanita mesti diberikan kawasan yang mempunyai peluang untuk menang, pemilihan calon wanita hendaklah dibuat berdasarkan merit, kemampuan, integriti dan rekod perkhidmatan.
“Parti perlu menyediakan latihan, dana dan sokongan jentera yang setara kerana kita hendak bina sebuah UMNO yang mencerminkan masyarakat negara ini,” katanya
“Jika negara sedang bergerak ke arah 30 peratus (calon wanita), apakah UMNO mahu tunggu di belakang? Apa yang kami minta bukan perkara mustahil. Ketika ini, hanya kira-kira 15 peratus calon adalah wanita,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026, di sini, hari ini.
Suraiya berkata, beberapa negara lain sudah menetapkan nisbah penyertaan wanita dalam politik, sekali gus menunjukkan sasaran 30 peratus itu mampu dilaksanakan.
Beliau yang juga Bendahari Wanita UMNO Kedah menegaskan, tuntutan itu bukan atas dasar simpati, sebaliknya kemampuan, pengalaman, pendidikan serta rekod khidmat wanita dalam parti dan masyarakat.
“Di Indonesia, mereka menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon adalah wanita.
“Di Brazil pula menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus dan maksimum 50 hingga 70 peratus bagi kedua-dua jantina. Jika negara lain berani membuka ruang kepada wanita, kenapa Malaysia masih terlalu berhati-hati?” katanya.
Pada Jun lalu, JPKP Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat mengesyorkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan wanita dalam PRU dan PRN.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, cadangan itu bertujuan menangani jurang perwakilan wanita dalam institusi politik negara yang masih jauh di bawah sasaran minimum 30 peratus.







