
SHAH ALAM – Usaha memperkukuh bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada peningkatan penyertaan murid, malah memastikan mereka kekal dan berjaya dalam bidang itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan penting bagi menangani jurang antara minat murid terhadap STEM dengan kesediaan mereka untuk mendalami bidang berkenaan.
Beliau berkata, penyertaan murid dalam bidang sains tulen ketika ini hanya sekitar 15.8 peratus, sekali gus memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak untuk memperkukuh pendidikan STEM.
“Selain menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM, semua pihak juga perlu terus memastikan mereka bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang berkenaan.
“Kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti perlu memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, tetapi terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan Piala YAB Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar berkata, peranan guru juga amat penting dalam usaha membentuk generasi yang mempunyai minat dan keyakinan untuk menceburi bidang STEM.
“Dalam hal ini, guru memainkan peranan amat besar, bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda.
“Bakat ada di mana-mana. Tanggungjawab kita ialah memastikan peluang juga ada di mana-mana, selain usaha memperkukuh pendidikan STEM mesti menjadi usaha bersama,” katanya.





