SPRM gantung baju oren OKS langkah matang, profesional – MCW

PUTRAJAYA – Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman disifarkan sebagai langkah yang matang dan profesional.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu selaras dengan prinsip asas keadilan bahawa seseorang yang disiasat belum boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses undang-undang.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, MCW turut bersetuju bahawa isu penggunaan gari hendaklah berasaskan penilaian risiko dan budi bicara profesional, bukannya digunakan secara automatik mahupun sebagai simbol penghinaan.

“Perlu ditegaskan bahawa reman bukan hukuman. Ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan. Oleh itu, tindakan membawa seseorang OKS ke mahkamah tidak seharusnya mewujudkan persepsi awam seolah-olah individu tersebut telah pun disabitkan kesalahan.

“Faktor seperti risiko melarikan diri, tahap keagresifan, keselamatan pegawai pengiring dan orang awam, kemungkinan mencederakan diri atau orang lain, keadaan kesihatan, umur serta keupayaan fizikal OKS sewajarnya diambil kira,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada.Sabtu.

Bagaimanapun, Jais menegaskan, kedudukan, pangkat dan pengaruh seseorang tidak seharusnya secara automatik memberikan layanan istimewa, sebagaimana status seseorang sebagai suspek juga tidak menghalalkan tindakan yang mengaibkan.

“Budi bicara tidak boleh bertukar menjadi pilih kasih. Menteri, bekas menteri, ahli politik, penjawat awam, tokoh korporat mahupun rakyat biasa hendaklah tertakluk kepada standard penilaian risiko yang sama.

“MCW merupakan pertubuhan yang tegas menentang rasuah namun perjuangan antirasuah yang berintegriti tidak boleh dibina melalui ‘trial by media’, penghinaan awam atau hukuman persepsi sebelum mahkamah menentukan kesalahan,” katanya.

Jais berpendapat, keputusan yang dibuat itu tidak boleh sama sekali disalahertikan sebagai melembutkan tindakan terhadap pesalah rasuah dan siasatan mesti kekal tegas, bebas serta tanpa takut atau pilih kasih.

Beliau menegaskan, pendakwaan hendaklah dilakukan apabila bukti mencukupi, dan mereka yang akhirnya disabitkan kesalahan mesti menerima hukuman sewajarnya.

“MCW menggesa SPRM supaya selepas ini menetapkan dan menerbitkan garis panduan yang jelas, seragam dan telus mengenai penggunaan gari serta tatacara membawa OKS ke mahkamah.

“Ini penting bagi mengelakkan tuduhan dwistandard serta melindungi pegawai penguat kuasa yang perlu membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan. Kita boleh keras terhadap rasuah tanpa mengorbankan maruah manusia.

“Kita boleh tegas terhadap suspek tanpa mendahului keputusan mahkamah, boleh memberi budi bicara kepada penguat kuasa tanpa membenarkan pilih kasih. Inilah wajah penguatkuasaan antirasuah yang MCW dan rakyat Malaysia mahu lihat, tegas, adil, profesional dan berintegriti,” katanya.

Pada Jumaat, SPRM memaklumkan pemakaian baju oren bagi orang kena siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman digantung serta-merta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, ia diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.

Katanya, OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan.

Related Posts

Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

KOTA KINABALU – Cadangan memperluaskan saringan dan rawatan pergigian asas menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sedang diteliti Kementerian Kesihatan (KKM) dari aspek kebolehlaksanaannya. Menteri Kesihatan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan lima permohonan bernilai keseluruhan RM500,000 bagi meningkatkan keupayaan rawatan, teknologi dan kemudahan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS). Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

Tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu untuk Penampang, Kudat dan Keningau

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu untuk Penampang, Kudat dan Keningau

KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

Belanjawan 2027 disaran perkasa pelepasan cukai, perkhidmatan awam untuk M40, T20 – Pakar ekonomi

Belanjawan 2027 disaran perkasa pelepasan cukai, perkhidmatan awam untuk M40, T20 – Pakar ekonomi

SPRM gantung baju oren OKS langkah matang, profesional – MCW

SPRM gantung baju oren OKS langkah matang, profesional – MCW

Perpaduan kukuh asas negara aman, tarik pelabur – Hisyamuddin

Perpaduan kukuh asas negara aman, tarik pelabur – Hisyamuddin