Belanjawan 2027 disaran perkasa pelepasan cukai, perkhidmatan awam untuk M40, T20 – Pakar ekonomi

BELANJAWAN 2027 disaran memperkasa bentuk sokongan melalui pelepasan cukai dan perkhidmatan awam berkualiti kepada golongan M40 serta sebahagian T20, berbanding bantuan tunai semata-mata.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pendekatan itu lebih bersesuaian bagi membantu mengurangkan kos wajib isi rumah, selain memastikan pendapatan boleh guna golongan berkenaan dapat ditingkatkan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu beralih daripada pendekatan berdasarkan pengelasan pendapatan B40, M40 dan T20 semata-mata kepada penyasaran berdasarkan keperluan sebenar isi rumah.

Katanya, komitmen, jumlah tanggungan dan kos sara hidup yang berbeza menyebabkan kedudukan kewangan sebenar setiap keluarga tidak semestinya dapat diukur berdasarkan pendapatan kasar.

“Sebagai contoh, seseorang yang berada dalam T20 dari segi pendapatan kasar, tetapi mempunyai tiga anak, pinjaman rumah, menjaga ibu bapa dan tinggal di Kuala Lumpur mungkin mempunyai pendapatan boleh guna yang jauh lebih rendah daripada apa yang dicerminkan oleh label T20.

“Jadi, Belanjawan 2027 patut bergerak daripada ‘income targeting’ kepada ‘needs-based targeting’,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.

Menurutnya, bantuan tunai masih diperlukan bagi kumpulan berpendapatan rendah, namun kerajaan perlu menyediakan bentuk sokongan berbeza kepada M40 dan sebahagian T20.

Katanya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah pelepasan cukai bagi penjagaan anak dan ibu bapa, perbelanjaan pendidikan, rawatan kesihatan, insurans serta caruman persaraan, selain memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam.

“Mereka tidak semestinya memerlukan RM100 atau RM200 tunai, tetapi apa yang mereka perlukan ialah supaya pendapatan selepas cukai meningkat dan kos wajib keluarga menurun.

“Saya juga melihat isu ini sebagai soal keadilan fiskal,” katanya.

Barjoyai berkata, M40 dan T20 menyumbang sebahagian besar kepada hasil cukai pendapatan negara, justeru kerajaan perlu memastikan golongan berkenaan turut menerima manfaat yang setimpal melalui sistem percukaian.

Katanya, sekiranya subsidi dan kemudahan kerajaan ditarik daripada mereka hanya atas alasan berkemampuan, keadaan itu boleh mewujudkan tekanan terhadap golongan kelas pertengahan.

“Jika setiap subsidi dan kemudahan kerajaan ditarik daripada mereka atas alasan mereka ‘mampu’, akhirnya kita mewujudkan ‘middle-class squeeze’  iaitu mereka membayar lebih tetapi semakin kurang menerima manfaat daripada sistem.

“Bantuan tunai boleh disasarkan, tetapi pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur berkualiti mestilah kekal sebagai manfaat luas kepada pembayar cukai,” katanya.

Tambahnya, pendekatan berkenaan juga penting bagi memastikan hasil kutipan cukai diterjemahkan kepada perkhidmatan yang dapat mengurangkan kos kehidupan rakyat dan mengekalkan keyakinan terhadap sistem percukaian.

Dalam pada itu, Barjoyai menyarankan kerajaan mengubah pendekatan daripada ‘subsidising consumption’ kepada ‘subsidising capability’ dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata, perbelanjaan kerajaan perlu lebih tertumpu kepada langkah yang meningkatkan keupayaan rakyat menjana pendapatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan dalam jangka panjang.

“Contohnya bantuan latihan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula (reskilling), penjagaan anak supaya ibu boleh kembali bekerja, pengangkutan awam supaya kos bekerja menurun, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendidikan teknikal serta geran produktiviti.

“Ini ialah perbelanjaan kerajaan yang mempunyai ‘exit mechanism’. Apabila pendapatan seseorang meningkat, kebergantungannya kepada kerajaan sepatutnya berkurangan,” katanya.

Beliau turut menyarankan subsidi dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu subsidi sosial untuk golongan yang benar-benar memerlukan, subsidi sementara ketika berlaku kejutan seperti kenaikan harga minyak dan subsidi produktif yang meningkatkan kemampuan rakyat menjana pendapatan.

“Yang perlu kita kurangkan ialah subsidi pukal tanpa tarikh tamat,” katanya.

Barjoyai berkata, sebahagian penjimatan hasil reformasi subsidi juga perlu dikembalikan kepada rakyat melalui pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan bantuan keluarga supaya manfaat reformasi dapat dilihat dengan jelas.

“Kalau tidak, rakyat hanya merasakan subsidi ditarik tetapi tidak nampak dividen reformasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 juga wajar beralih daripada pendekatan ‘Budget of Assistance’ kepada ‘Budget of Economic Security’, yang membolehkan keluarga mempunyai keyakinan untuk mempunyai anak, memiliki rumah, mendapatkan pendidikan dan rawatan, mengekalkan pekerjaan serta merancang masa depan tanpa perlu bergantung kepada bantuan tunai kerajaan.

Dalam pada itu, Prof Barjoyai turut mencadangkan pendekatan ‘Parallel Economy’ atau ‘Dual-Track Economy’ yang menggabungkan ekonomi pasaran dengan ekonomi kebajikan wakaf.

Katanya, pendekatan ‘Market Economy’ dan ‘Waqf Welfare Economy’ yang saling melengkapi boleh menjadi antara idea utama dalam konsep Waqfonomy bagi membina sistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

Related Posts

Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

KOTA KINABALU – Cadangan memperluaskan saringan dan rawatan pergigian asas menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sedang diteliti Kementerian Kesihatan (KKM) dari aspek kebolehlaksanaannya. Menteri Kesihatan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan lima permohonan bernilai keseluruhan RM500,000 bagi meningkatkan keupayaan rawatan, teknologi dan kemudahan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS). Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih pertengahan September

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih pertengahan September

PP26 tawar khidmat kesihatan percuma, 33 penderma darah tampil di Kota Kinabalu

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
PP26 tawar khidmat kesihatan percuma, 33 penderma darah tampil di Kota Kinabalu

Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Rawatan pergigian asas dalam PeKa B40 sedang diteliti

Tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu untuk Penampang, Kudat dan Keningau

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu untuk Penampang, Kudat dan Keningau

KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
KKM lulus RM500,000 tingkat keupayaan Pusat Pakar Pergigian Sabah

Belanjawan 2027 disaran perkasa pelepasan cukai, perkhidmatan awam untuk M40, T20 – Pakar ekonomi

Belanjawan 2027 disaran perkasa pelepasan cukai, perkhidmatan awam untuk M40, T20 – Pakar ekonomi