Tafsir Perlembagaan berasaskan fakta, bukan kepentingan – Shamrahayu

KEFAHAMAN masyarakat terhadap Perlembagaan Persekutuan kini semakin baik, namun terdapat pihak yang mentafsir atau menggunakan peruntukan tertentu mengikut kepentingan masing-masing sehingga boleh mencetuskan polemik, kata Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz

Beliau berkata, tafsiran Perlembagaan perlu dibuat berdasarkan peruntukan, fakta dan data supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang akhirnya boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Saya fikir orang Malaysia atau warga negara Malaysia ini lebih memahami Perlembagaan.

“Apabila memahami Perlembagaan itu, munculnya mereka yang menafsir Perlembagaan atau mengambil peruntukan Perlembagaan yang memberikan kepentingan atau menjulang kepentingan mereka masing-masing,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).

Beliau berkata demikian ketika mengulas polemik berkaitan kedudukan Tanah Melayu selepas pembentukan Malaysia.

Pada 28 Julai lalu, bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim menerusi hantaran di Facebook miliknya berkata:

“Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah dikenali sebagai Malaysia. Nama Tanah Melayu berakhir dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan. Titik.”

Mengulas perkara itu, Shamrahayu berkata, memang benar nama Persekutuan berubah daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia selepas pembentukan Malaysia, namun istilah Tanah Melayu masih disebut dalam beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, berdasarkan Perkara 1, Malaysia terdiri daripada dua komponen utama, iaitu negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

“Bila dikatakan Tanah Melayu itu sudah tidak ada, mungkin maksudnya ialah nama Malaysia telah menggantikan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi negeri-negeri Tanah Melayu masih lagi disebut secara harfiah dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai negeri-negeri Tanah Melayu, manakala Perkara 8 dan Perkara 9 turut menggunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, Perkara 121 pula menggunakan istilah States of Malaya yang diterjemahkan sebagai negeri-negeri Tanah Melayu, selain Perkara 161E.

“Jadi ia menimbulkan polemik. Orang Melayu mestilah berasa sensitif bila dikatakan Tanah Melayu sudah tidak ada,” katanya.

Shamrahayu berkata, tafsiran terhadap Perlembagaan mengikut kehendak masing-masing tanpa berasaskan fakta atau data bukan sahaja menyebabkan kecelaruan kefahaman, malah boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata media mempunyai peranan penting untuk menelusuri sesuatu tafsiran Perlembagaan dengan merujuk keputusan mahkamah atau mendapatkan pandangan pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Media harus memainkan peranan untuk menelusuri apa yang telah diputuskan oleh mahkamah atau mencari ataupun mendapatkan data daripada mereka yang mengetahui tentang Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Shamrahayu mengingatkan khususnya ahli politik supaya mengelakkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum atau bangsa, terutama dalam keadaan negara memerlukan perpaduan kukuh.

“Saya fikir perkara-perkara seperti ini perlu dielakkan. Tak perlulah kita menyebut perkara-perkara yang boleh mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan etnik atau bangsa.

“Apatah lagi dalam suasana politik dan suasana kehidupan negara kita sekarang ini yang memerlukan perpaduan yang sangat erat supaya kita dapat menangani cabaran geopolitik, cabaran ekonomi dan cabaran perpaduan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengutamakan kefahaman yang tepat terhadap Perlembagaan supaya peruntukannya tidak dijadikan bahan polemik atau hujah untuk kepentingan politik tertentu.

Related Posts

Jangan berdiam diri, masyarakat perlu peka lindungi mangsa keganasan rumah tangga – Nancy Shukri

KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru seluruh lapisan masyarakat agar bersikap peka dan berani melaporkan sebarang insiden keganasan rumah tangga yang berlaku di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
1,859 peserta sertai perarakan komponen ekonomi sempena Hari Kebangsaan 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 1,859 peserta daripada 43 kontinjen Komponen Ekonomi akan menyertai Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026, yang mencerminkan kekuatan, kepelbagaian dan kesepaduan sektor ekonomi negara. Ketua Setiausaha Kementerian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tafsir Perlembagaan berasaskan fakta, bukan kepentingan – Shamrahayu

Tafsir Perlembagaan berasaskan fakta, bukan kepentingan – Shamrahayu

Rasuah bukan isu kaum, bukti mesti mengatasi persepsi

Rasuah bukan isu kaum, bukti mesti mengatasi persepsi

Hadi perlu lihat kerangka demokrasi Malaysia berbeza dengan zaman Madinah

Hadi perlu lihat kerangka demokrasi Malaysia berbeza dengan zaman Madinah

Jangan salahkan DAP untuk halalkan kesalahan pemimpin Melayu – Ibrahim Ali

Jangan salahkan DAP untuk halalkan kesalahan pemimpin Melayu – Ibrahim Ali

Pendekatan mesra pelabur, persekitaran kondusif dorong Google pilih Selangor

Pendekatan mesra pelabur, persekitaran kondusif dorong Google pilih Selangor

Fadhlina arah siasatan dalaman segera, isu buli dan perkauman dipandang serius

Fadhlina arah siasatan dalaman segera, isu buli dan perkauman dipandang serius